Aku bukanlah seorang pelajar yang aktif di sekolah. Apa jua jenis sukan, persatuan beruniform mahupun kelab tidak pernah aku sertai. Apapun, semuanya berubah apabila aku memasuki tingkatan enam. Masa itu, aku hanya terfikir yang jika Surat Tamat Persekolahan aku tidak terisi dengan aktiviti Ko-k, maka ianya akan menyebabkan masa depan aku akan gelap. Dengan itu, aku terpaksa berbuat sesuatu.
Setelah lama berfikir, maka aku ingin menyertai Pustakawan sekolah. Ianya lebih mudah daripada Pengawas Sekolah dan aktivitinya selepas tamat waktu belajar dan bukannya pada hujung minggu yang aku suka gunakan untuk menonton rancangan katun.
Sebagai Pustakawan, aku memakai tali leher hijau dan blazer berwarna hijau. Lain sikit daripada pelajar biasa yang hanya memakai tali leher biru gelap. Pengawas pula memakai tali leher biru muda serta blazer biru muda. Ketua kelas pula memakai tali leher kuning.
Dari segi populariti, Pengawas adalah paling popular diikuti oleh Ketua Kelas. Kemudian, diikuti pula oleh pelajar biasa dan akhirnya adalah Pustakawan. Pustakawan tidak popular kerana mereka seperti budak skema yang bekerja bersama buku.
Tahun 2000… Sudah setahun aku menjadi Pustakawan comel di sekolah. Masa itu juga, aku sudah berada di tingkatan enam atas yang bermakna aku dan rakan-rakan adalah senior di sekolah.
Sebagai senior di sekolah bermakna aku juga Pustakawan Senior yang comel. Itu memaksa aku memikul tanggungjawab yang lebih berat. Aku diberikan jawatan Ketua Biro Komunikasi dan Maklumat. Tugas aku hanyalah menyampaikan apa-apa sahaja aktiviti perpustakaan sekolah kepada para pelajar.
Menyampaikan maklumat kepada pelajar lain boleh digunakan melalui pelbagai cara. Antaranya menggunakan poster, PA system di bilik guru ataupun melawat dari kelas ke kelas. Aku tidak mahu menggunakan poster kerana ia kurang berkesan selain kos serta kreativiti diperlukan. Aku juga tidak memilih untuk berucap menggunakan PA system di bilik guru kerana semua orang akan mendengarinya termasuklah tukang kebun, pak guard serta pekerja kantin. Jadi, cara aku ialah mengagih-agihkan tugas kepada anak buah serta diri aku sendiri untuk membuat lawatan ke kelas bagi menyampaikan segala maklumat aktiviti kami.
Sebenarnya, itulah kali pertama aku berucap depan orang lain secara formal. Perasaan? Gementar bercampur seronok walaupun pendengar aku hanyalah adik-adik di tingkatan 1,2,3,4, dan 5.
**********
Seperti yang aku nyatakan tadi yang aku ada anak buah. Anak buah aku ini sebenarnya adalah junior Pustakawan aku juga. Salah seorang daripada anak buah aku adalah seorang perempuan yang kecik molek. Dia suka mengajak aku bersembang sewaktu tidak sibuk bertugas. Dia juga sebenarnya baru di tingkatan empat ketika itu.
Aku melayannya seperti kawan-kawan perempuan yang lain yakni mereka hanya kawan sewaktu di kelas ataupun sewaktu bertugas semata-mata. Aku tidak berani melepak bersama budak perempuan selain masa belajar samada di luar pagar sekolah ataupun berjalan-jalan di bandar.
Suatu hari, disebabkan kami selalu bersembang sewaktu bertugas, tiba-tiba dia berkata, “Boleh saya jadik adik angkat awak?”. Aku terkejut tetapi sedikit teruja kerana itu adalah pertama kali seorang budak perempuan berterus terang untuk rapat dengan aku walaupun hanya sebagai Adik Angkat ku sahaja. “Hahaha. Boleh jugak”, jawapan ku ringkas seperti tidak terlalu serius. Mulai dari hari itu, kami secara rasminya telah menjadi adik beradik angkat.
Ada perbezaan ker? Rasanya tiada sebab kami berjumpa hanya pada masa bertugas sahaja. Mungkin kerana aku tidak pernah ada kawan rapat perempuan sebelum itu, maka aku tidak biasa mengajaknya untuk lepak di luar.
Mungkin bagi kamu, aku yang sudah berumur 19 tahun ketika itu yang tidak pernah melepak dengan budak perempuan adalah sesuatu yang pelik apatah lagi di zaman yang serba maju dan moden ini, namun itulah kebenarannya. Aku tiada pengalaman, tidak yakin pada penampilan diri, tidak tahu berfesyen dan yang paling penting aku tiada wang untuk berfoya-foya. Jika hendak mengajak perempuan keluar mestilah aku sebagai lelaki yang belanja. Bagi aku malu rasanya jika perempuan yang belanja kecuali mungkin sudah rapat dengan aku.
Selepas beberapa lama menjadi adik beradik angkat, Adik Angkat ku menyerahkan gambar miliknya serta nombor telefon rumahnya dicatat di belakang gambar berkenaan. “Eh… ada nombor telefon ni. Nanti aku telefon ya”, kata aku. Adik Angkat ku hanya tersenyum.
Baik sungguh aku berjanji untuk menelefonnya padahal aku tidak pernah menelefon perempuan sebelum itu. Jadi, pada suatu malam, aku membawa beberapa syiling berjumlah seringgit lebih ke pondok telefon yang jauh sedikit daripada rumah. Pada masa itu, handphone belum lagi satu alat wajib dimiliki oleh remaja kerana ianya mahal dan belum popular. Handphone yang ada ketika itu pun hanyalah yang bernombor 010 yang dimiliki oleh orang-orang kaya dan berjawatan besar.
Perasaan masa aku menelefon itu amatlah gementar. Suara ku gugup dan peluh sejuk ku mengalir laju di kepala. Apapun, akhirnya semua berjalan lancar walaupun aku tidak tahu apa yang hendak disembangkan ketika itu.
Selepas itu, aku memberanikan diri menggunakan telefon rumah secara curi-curi. Jika diketahui, aku takut dimarahi oleh emak.
Perkara yang mahu aku rahsiakan ini, terbongkar jua akhirnya kepada pengetahuan emak dan adik aku. Ia terbongkar kerana Adik Angkat aku menelefon ke rumah.
“Hello. Assalamualaikum. Luffy ada?”, tanya Adik Angkat ku.
“Waalaikumsalam. Siapa ni?”, tanya emak aku yang menjawab telefon tersebut.
“Ni adik angkat Luffy”, beritahu dia.
Apa lagi? Selepas itu, habislah aku menjadi bahan perli oleh emak dan adik. Aduh! Sungguh malu perasaan aku ketika itu. Maka, mulai daripada saat itu aku mula menjauhkan diri daripadanya.
Beberapa lama kemudian, aku sudah melanjutkan pelajarannya di sebuah universiti tempatan. Aku sudah tidak lagi menghubungi adik angkat ku tetapi adik angkat ku masih cuba menghubungi rumah ku untuk mencari aku. “Adik Angkat mu telefon rumah“, beritahu mak aku. “Ahh… biarlah!”, kata remaja lelaki kepada emaknya sewaktu mereka bersembang di dalam telefon bagi menutup malunya.
Ringkasnya, Hubungan adik beradik angkat kami terputus begitu sahaja.
Sungguh teruk aku. Walaupun aku tiada perasaan berlebihan kepadanya, sepatutnya aku melayan dia baik. Tetapi, aku lebih kepada melarikan diri daripada perasaan malu.
Itu tidak mengapa. Apa yang paling teruk ialah... Aku sudah lupa namanya!